Rabu, 13 April 2011


TAKZIAH PADA NURJANNAH ANUAR
PETALING JAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melawat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Nur Jannah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini Khamis.
Perdana Menteri dan isteri tiba di wad kanak-kanak, tingkat 11, PPUM pada pukul 6 petang.

"Saya datang atas permintaan adik Nur Jannah kerana beliau berhasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri maka saya tunaikan hajat beliau.

"Saya dan isteri memberi kata-kata semangat kepada Nur Jannah dalam menghadapi keadaan yang sangat mencabar kepada dirinya (yang menghidap penyakit kanser tulang: osteosarcoma)," katanya kepada pemberita selepas melawat Nur Jannah di PPUM di sini.

Turut hadir ialah Pengarah Make-A-Wish Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Sandar Kirwan Byrne.

Dalam pertemuan itu Najib telah menghadiahkan sebuah I-pod kepada Nurul Jannah selepas beliau mengetahui remaja itu gemar mendengar muzik.

Dalam tweet beliau selepas lawatan itu, Najib berkata beliau baru sahaja melawat remaja perempuan itu yang menghidap barah tulang bagi memenuhi impiannya untuk berjumpa Perdana Menteri.

"Saya berasa sangat sedih. Beliau sangat sengsara tetapi sangat gembira bertemu dengan saya. Diberitahu bahawa remaja itu mahu bertanyakan saya jika seorang wanita boleh menjadi seorang Perdana Menteri," kata Najib.

Sementara itu, Kirwan berkata pihaknya berasa gembira kerana Najib dan Rosmah sudi melawat Nur Jannah.

Menurutnya, Nur Jannah telah menghidap penyakit kanser tulang kira-kira dua tahun dan beberapa bulan yang lepas Nur Jannah telah meluahkan hasratnya ingin bertemu Perdana Menteri.

"Sehubungan itu, selepas mendapat tahu mengenai hasrat Nur Jannah, pihak kami (Make-A-Wish Malaysia) berusaha agar Perdana Menteri dapat bertemu beliau kerana keadaan kesihatannya dan akhirnya hari ini Perdana Menteri telah memenuhi hasrat beliau," kata Kirwan. - BERNAMA


10 APRIL 2011 NURJANNAH PULANG KE RAHMATULLAH.....DOAKAN ROHNYA DICUCURI RAHMAT...AMIN

Tiada ulasan: